GAMBAR hiasan. FOTO Reuters

EXCO Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), Datuk Ahmad Ibrahim menyarankan kerajaan memperkenalkan etika pakaian sekolah awam mengikut sistem yang dipraktikkan di Amerika Utara.

Katanya, merujuk kenyataan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bahawa pelajar boleh memakai apa sahaja warna kasut ke sekolah, maka lebih baik sekiranya kita melaksanakan sistem etika pakaian sekolah awam Amerika Utara.

Ahmad berkata, jika etika pakaian sekolah awam di Amerika Utara dijadikan contoh, ibu bapa tidak perlu lagi membeli pakaian seragam sekolah setiap tahun.

"Dengan pendekatan itu, rakyat dapat berjimat kerana selama ini kita berbelanja besar untuk membeli pakaian dan kasut untuk anak ke sekolah.

"Siapa mahu pakai jubah, baju Melayu, gaun, seluar jean, kemeja, Cheongsam terserah asal jangan terlalu seksi dan baju yang tidak mengandungi perkataan perkauman atau prejudis dan tidak kotor, selain mesti berkasut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

AHMAD. FOTO Melvin Joni

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menegaskan apa yang patut difokuskan KPM adalah untuk mata pelajaran dan ko-kolurikulum sekolah seimbang dengan keperluan zaman sekarang serta dapat melengkapkan pelajar untuk menghadapi dunia baharu.

Katanya lagi, banyak mata pelajaran dan kurikulum sekarang sudah ketinggalan zaman dan patut diperbaiki.

"Untuk Sarawak, saya secara peribadi merasakan pendidikan perlu memfokus kepada bidang perikanan, pertanian moden, ternakan, minyak dan gas, sivik, teologi (untuk memahami semua agama di dunia), evolusi manusia dan tamadun termasuk alam sekitar...tetapi tidak terhadlah," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berharap KPM menekankan penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah kerana ia adalah sangat penting bagi melengkapi anak-anak Malaysia dengan kemahiran dalam bahasa antarabangsa itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 6:21 PM