PASUKAN Operasi SAR giat menjalankan usaha mengesan empat penuntut PSMZA di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan, Dungun. FOTO Rosli Ilham.
PASUKAN Operasi SAR giat menjalankan usaha mengesan empat penuntut PSMZA di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan, Dungun. FOTO Rosli Ilham.


SELEPAS 24 jam dikhuatiri lemas, empat penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun, belum ditemui.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Sharikan Bustaman berkata, setakat 6 petang, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa belum berhasil.

Beliau berkata, kebiasaannya dalam tempoh 24 jam, mangsa lemas akan timbul di permukaan air.

“Operasi SAR yang masuk hari kedua diperluaskan sehingga jarak lebih 20 kilometer sehingga ke Teluk Gadung, Sura Hujung.

“Selain operasi di tengah laut, kami melakukan pencarian di sepanjang pesisir pantai," katanya.

Beliau berkata, operasi hari ini membabitkan 90 kekuatan terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan penduduk kampung.

Menurutnya, kebiasaannya dalam tempoh 48 jam, mangsa masih berada di sekitar tempat kejadian dan operasi ditumpukan di kawasan satu hingga dua batu nautika ke laut.

“Kami turut tumpu pencarian ke kawasan pantai dalam jarak 20 kilometer sehingga ke tempat biasa kami temui mayat mangsa lemas.

“Keadaan ombak besar membantutkan usaha pencarian kami di kawasan berbatu yang dipercayai tempat mangsa dikatakan lemas.

“Operasi ini akan diteruskan termasuk pada waktu malam sehingga semua mangsa ditemui,” katanya.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, empat mangsa, Mohamad Zul Fahmi Zuki, 21, Mohamad Amir, 21, Mohammad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, 21, dan Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, 21, dikhuatiri lemas dan tenggelam ke dasar laut selepas dipukul ombak besar.

Bagaimanapun, dua lagi rakan mereka, Muhamad Irfan Kamaruzaman, 21, dan Hazman Zamili, 21, terselamat dalam kejadian itu.

Berita berkaitan

'Mangsa mungkin dah hanyut lebih jauh'

'Petanda kain pelikat koyak'

'Kes lemas kedua babitkan penuntut PSMZA'

'Kereta terbabas teringat anak'

'SAR empat penuntut PSMZA diteruskan'

'Mohamad Amir mahu wakil negara - Guru silat'

'[UPDATE] Terpisah dipukul ombak'

'4 penuntut politeknik dikhuatiri lemas [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 6:39 PM