PENYOKONG BN bersorak selepas Mohamad secara tidak rasmi menang kerusi Parlimen Kimanis. FOTO Juwan Riduan
PENYOKONG BN bersorak selepas Mohamad secara tidak rasmi menang kerusi Parlimen Kimanis. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SUASANA di luar Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort yang menjadi pusat penjumlahan undi dipenuhi penyokong Barisan Nasional (BN).

Dianggarkan kira-kira 500 penyokong BN mula berkumpul sejak jam 6 petang tadi.

Suasana gamat bermula sejak 8.30 malam apabila Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tiba di pintu utama dewan berkenaan.

Penyokong mula bersorak 'Radu Tetap Radu' sambil mengucapkan 'terima kasih undi BN'.

Bagaimanapun keadaan terkawal dengan kehadiran anggota polis di luar dewan berkenaan.

Calon BN, Datuk Mohamad Alamin secara tidak rasmi memenangi kerusi Parlimen Kimanis selepas memperoleh majoriti lebih 2,000 undi pada PRK parlimen itu, 8 malam tadi.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember 2019 mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2019 memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 9:12 PM