GAMBAR HIASAN
Siti Azila Alias


WANITA meninggal dunia selepas Proton Saga dipandu teman lelakinya terbabas dan melanggar rumah kedai di Jalan Pokok Machang, Kepala Batas, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian 12.55 tengah malam itu mengakibatkan Norsyawallina Che Rus, 28, yang duduk di kerusi penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila kereta dipandu Khairulnizar Nayan, 40, yang juga nelayan dikatakan terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar kedai berkenaan.

“Ketika kejadian, mereka datang dari arah Pongsu Seribu menghala Tasek Gelugor.

“Penghuni rumah kedai itu pula selamat dan ketika kejadian, semuanya sedang tidur,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mayat dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 9:26 PM