GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


PENUNGGANG motosikal yang menyamar sebagai anggota polis dan memeras ugut seorang lelaki ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di daerah ini susulan laporan dibuat mangsa.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika mangsa berjalan seorang diri berhampiran sebuah stesen minyak di Aman Puri, Gombak dan dihampiri seorang lelaki menunggang motosikal jenis Suzuki.

“Penunggang terbabit mengaku anggota polis dan menunjukkan sekeping kad sebelum meminta mangsa menyerahkan pasport serta telefon bimbit.

“Mangsa menuruti arahan suspek dengan menyerahkan barangan itu dan suspek meminta wang pula. Mangsa memberikan RM250, namun suspek meminta RM600 sekiranya dia mahu mendapatkan semula pasport serta telefon bimbitnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bertindak atas laporan, Arifai berkata, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek, pada hari sama.

Katanya, polis merampas motosikal digunakan suspek, wang tunai dan telefon bimbit milik mangsa.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan curi dalam bangunan,” katanya.

Menurutnya, suspek direman empat hari sehingga Selasa untuk membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 384 kanun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 9:41 PM