TPM ucap takziah atas pemergian Yousuf Deedat. FOTO FB Dr Wan Azizah Wan Ismail
Raja Noraina Raja Rahim


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Yousuf Deedat, 65, anak lelaki kepada pendakwah Islam terkenal, Sheikh Ahmed Deedat.

Beliau menerusi Facebook memaklumkan Yousuf kembali ke rahmahtullah di Durban, Afrika Selatan.

“Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” tulisnya.

Yousuf dilaporkan meninggal dunia petang semalam, selepas ditembak individu tidak dikenali pada 15 Januari lalu.

Al-Jazeera melaporkan, arwah ditembak di kepala ketika berjalan ke mahkamah keluarga Verulam di pinggir bandar Durban bersama isterinya.

Selepas ditembak, mangsa dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan perubatan, manakala suspek melarikan diri ke sebuah kereta kemudian hilang tanpa jejak.

Sheikh Ahmed Deedat yang meninggal dunia pada 2005 adalah seorang ulama Muslim Afrika Selatan yang terkenal dalam mengupas perbezaan agama.

Beliau terkenal di seluruh dunia sebagai penceramah dan penulis yang dihormati dalam menerbitkan beberapa buku kecil mengenai Islam dan Kristian.

Sheikh Ahmed Deedat juga pengasas Pusat Penyebaran Islam Antarabangsa bertujuan mendengar dan memahami Islam di seluruh dunia.

Anak lelakinya Yousuf adalah seorang aktivis komuniti terkenal dan sarjana Muslim di Durban.

Polis berkata, mereka masih menyiasat punca di sebalik tembakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 10:14 PM