Juwan Riduan


“KEJAYAAN ini adalah kejayaan bersama," kata Datuk Mohamad Alamin ketika mengulas mengenai kejayaannya memenangi Kerusi Ahli Parlimen Kimanis.

Katanya, rakyat menterjemahkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan berikutan pelbagai isu yang menghantui mereka ketika ini.

"Kejayaan ini adalah kejayaan bersama, bukan kejayaan saya secara peribadi.

"Ini menampakkan kedewasaan rakyat dalam membuat keputusan dengan pelbagai isu yang menghantui rakyat dan diterjemahkan pada hari ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau akan turun bersama rakyat untuk mencari isu dan menyuarakan isu yang sering menghantui rakyat di Kimanis dan Sabah.

"Ini keutamaan saya kerana ia menampakkan rakyat sangat tidak berpuas hati dengan kerajaan sekarang," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada lawannya, calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang kerana menampakkan kematangan berpolitik sepanjang kempen.

"Kita sering terserempak dan bersemuka dengan mesra juga," katanya.

Mohamad memperoleh 12,706 undi daripada 70 peti undi mengatasi calon Warisan, Datuk Karim Bujang yang memperoleh 10,667 undi.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 10:39 PM
    MOHAMAD dijulang selepas memenangi kerusi Parlimen Kimanis. FOTO Edmund Samunting