ANWAR bersalaman dengan tetamu ketika hadir majlis Sambutan Tahun Baru Cina dan Pelancaran Bazar Tahun Baru Cina Lukut di Taman Lukut Hartamas. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


PAKATAN Harapan (PH) perlu menerima kekalahan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis hari ini, yang memberi isyarat jelas ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan.

BH Online melaporkan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kekalahan kali ini juga bukan masa untuk menyalahkan mana-mana pihak.

"Ini bukan salah sesiapa. Tindakan harus diambil dan kalau tidak dapat terima, kesannya parah kerana ia sudah menyeluruh ke seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Perasmian Bazar Tahun Baharu Cina Lukut di Port Dickson, malam tadi.

Ditanya sama ada kekalahan itu memberi tekanan kepadanya, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengakui perkara itu.

"Sudah tentu beri tekanan kerana ini sudah jadi tanggungjawab Tun Dr Mahathir Mohamad, saya dan rakan lain untuk memikirkan langkah seterusnya ke arah memenangi hati rakyat yang terluka," katanya.

Mengulas mengenai keputusan PRK itu, Anwar percaya Sabah di bawah pimpinan Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, akan terus meningkatkan usaha membangunkan negeri itu.

"Jelas masalah rakyat ketika ini adalah masalah ekonomi. Sehari di sana saya tengok pekebun getah kecil, infrastruktur dan kemudahan yang perlukan perubahan.

"Saya percaya nanti kita dapat buat perubahan baik selepas ini," katanya.

Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis selepas mendapat 2,029 majoriti dalam PRK Kimanis.

Calon BN, Datuk Mohamad Alamin, 47, mendapat 12,706 manakala calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang, 66, memperoleh 10,677 undi.

Sementara itu, mengenai Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang diberi tempoh 14 hari menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadapnya, Anwar berkata beliau serahkan perkara itu kepada Lembaga Disiplin parti.

"Semua pimpinan tahu dan tiada masalah dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang diadakan tadi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 11:23 PM