GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


HANYA dalam tempoh 12 jam, lebih RM1 juta bayaran saman berjaya diperolehi melalui pembayaran secara dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, bagi tempoh bermula jam 12 tengah malam hingga 12 tengah hari tadi, hampir 10,000 saman dibayar melalui aplikasi dalam talian.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi, kami merekodkan pembayaran hampir 10,000 saman membabitkan kutipan bayaran lebih RM1 juta.

“Ini adalah kali pertama tawaran diskaun dibuat melalui pembayaran dalam talian dilakukan dan kami menerima sambutan yang amat baik. Orang ramai digalakkan supaya mengambil kesempatan ini untuk membuat pembayaran saman tertunggak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Azisman mengumumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun saman 50 peratus untuk pembayaran secara dalam talian melalui MyEg dan Rilex.com bermula 18 hingga 22 Januari ini.

Beliau mengumumkan perkara itu pada sidang media khas sempena pencapaian 2019 dan perancangan 2020 PDRM di Bukit Aman, Isnin lalu.

Beliau dilaporkan berkata, PDRM akan lebih menumpukan kepada kaedah e-pembayaran kepada mana-mana pihak yang mahu melunaskan saman tertunggak terutamanya sempena musim perayaan.

Menurutnya, inisiatif itu juga bagi membolehkan orang ramai tidak menunggu dan beratur berjam-jam bagi membuat pembayaran saman di balai polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 11:41 PM