BERNAMA

PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Naib Presidennya Zuraida Kamaruddin, berhubung dakwaan salah laku disiplin.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, surat itu dikeluarkan kepada Ahli Parlimen Ampang itu, kelmarin.

“Bermula semalam (kelmarin), beliau ada 14 hari untuk beri penjelasan dan selepas itu barulah Lembaga Disiplin akan buat apa-apa tindakan selanjutnya, sama ada pendengaran atau digugurkan. Itu dalam tanggungjawab Lembaga Disiplin,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat PKR di Petaling Jaya, semalam.

Turut hadir pada mesyuarat itu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya sama ada surat itu dikeluarkan atas sebab ucapan atau kehadiran Zuraida dalam mesyuarat parti, Saifuddin Nasution bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut.

“Saya tak privy kepada itu sebab pengerusi Lembaga Disiplin hanya melaporkan perkara itu (di dalam mesyuarat hari ini) sebab itu dalam bidang kuasa beliau,” katanya.

ZURAIDA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ZURAIDA. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Selain itu, Saifuddin turut memaklumkan ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK Mohd Akmal Hisyam Ahmad Tamyiz, antara yang ditahan dalam serbuan ‘pesta’ dadah di sebuah kondominium Ahad lalu digantung keahlian parti serta-merta sehingga kes itu selesai disiasat polis.

Beliau turut mengumumkan rombakan kecil keahlian Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR seperti dipersetujui mesyuarat semalam termasuk pelantikan beberapa ahli MPP baharu, menggantikan beberapa MPP yang dilantik sebelum ini yang digugurkan.

SAIFUDDIN pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Ibu Pejabat PKR, semalam. FOTO BERNAMA
SAIFUDDIN pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Ibu Pejabat PKR, semalam. FOTO BERNAMA

Ini termasuk Dr Lee Boon Chye menggantikan Lee Khai Loon dan Rodziah Ismail menggantikan Syed Ibrahim Syed Noh.

“Oleh kerana Khai Loon bukan lagi MPP yang dilantik dan beliau juga ahli Lembaga Rayuan parti, dengan beliau digugurkan maka MPP umum pelantikan Jun Leow, Ahli Parlimen Hulu Selangor menggantikan tempatnya (dalam Lembaga Rayuan parti),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 7:01 AM