Fairuz Zaidan dan Amir Mamat

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (ARMADA) berharap post-mortem yang akan dijalankan susulan kekalahan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Karim Bujang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis semalam akan merungkai punca parti berkenaan tidak mendapat sokongan rakyat.

Ketua ARMADA Syed Saddiq Syed Abd Rahman berkata, pada masa sama langkah itu juga akan mencari jalan penyelesaian bagi mengembalikan sokongan pengundi muda kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, perbincangan bersama semua kepemimpinan PH pada post-mortem itu nanti diharap mampu menghasilkan formula dan strategi berkesan bagi memastikan sokongan rakyat terutama orang muda muda kembali kepada PH.

“Saya berasa semua kepemimpinan akan hadir untuk bincang perkara ini secara menyeluruh.

“Panggilan post-mortem ini penting untuk kita fahami masalah dan apa yang kita perlu lakukan secara bersama,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Hari Terbuka Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Dataran Pahlawan di Melaka hari ini.

Hadir sama Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU merangkap Exco Perindustrian, Pelaburan dan Perdagangan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri Datuk Noor Effendi Ahmad.

PRK Kimanis menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin menewaskan Karim dengan majoriti 2,029 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 11:24 AM
Ketua ARMADA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Foto Aizuddin Saad