MUHAMAD Ridzuan bersama Nor Khairunnisya diiringi Minion dan badut menuju ke pelamin ketika majlis sambut menantu, semalam. FOTO ihsan Mohd Rashidi Mohd Isa.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“MAJLIS perkahwinan sekali seumur hidup, jadi kami membuat kelainan yang boleh diingati sampai bila-bila,” kata Muhamad Ridzuan Roslan dari Kampung Gong Kijang, Kuala Nerus, hari ini.

Majlis sambut menantu Muhamad Ridzuan, 24, bersama pasangannya, Nor Khairunnisya Mohd Zain, 22, menjadi tular di media sosial apabila menggunakan badut dan watak animasi Minion sebagai pengapit ketika upacara berarak ke pelamin, semalam.

Muhamad Ridzuan berkata, kelainan dibuat itu sebagai kejutan untuk isteri dan rombongan keluarga perempuan yang datang ke majlis itu.

“Semuanya dijalankan secara spontan untuk isteri seterusnya memeriahkan majlis sambut menantu itu.

“Penggunaan badut dan maskot Minion bukan sahaja meraikan majlis, tetapi kanak-kanak gembira dan seronok.

“Selain tarikan itu, kami turut menyediakan makanan sampingan khas untuk kanak-kanak seperti pop corn, gula-gula kapas dan ais krim," katanya yang berkerja sendiri.

Menurutnya, ramai ibu bapa memberi pujian ke atas kelainan ditonjolkan pada majlis berkenaan.

Katanya, mereka menyifatkan kehadiran badut dan Minion secara tidak langsung menggembirakan anak mereka, seterusnya tidak meragam sepanjang majlis berlangsung.

“Biasanya kanak-kanak tidak gemar untuk berada lama di majlis selain sibuk dengan gajet dan bermain permainan video di telefon.

“Tetapi dengan kehadiran badut dan Minion itu, kanak-kanak terhibur dan ceria di majlis berkenaan," katanya.

Nor Khairunnisya berkata, dia terharu dengan kejutan dilakukan suaminya itu pada majlis berkenaan.

“Saya pernah menyuarakan hasrat kepada suami untuk membuat kelainan pada majlis perkahwinan kami tetapi tidak pasti jenis kelainan itu.

“Apabila suami membuat kelainan pada majlis itu membuktikan suami mengambil berat dan serius dengan keinginan dan hasrat saya.

“Terkejut apabila tiba-tiba badut dan Minion itu menjadi pengapit dan mengiringi kami ke pelamin, sekali gus menjadi kenangan manis buat kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 11:36 AM