Rosyahaida Abdullah

TIMBALAN Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan isu legasi sebagai antara faktor calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Karim Bujang tewas kepada Datuk Mohamad Alamin (Barisan Nasional) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis semalam.

Menurutnya, secara asasnya sokongan rakyat di Kimanis tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 apabila calon sama mewakili WARISAN dan mendapat jumlah undi yang hampir serupa.

“Saya kira Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Presiden WARISAN) dan pasukannya sudah melakukan yang terbaik dalam tempoh 20 bulan lalu.

“Namun, oleh kerana isu legasi itu terlalu besar, mereka perlukan masa untuk meyakinkan bahawa masa depan dan rakyat Sabah terletak pada kerajaan pimpinan WARISAN hari ini.

“Tidak timbul kemerosotan undi tetapi oleh kerana ia adalah kawasan luar bandar, kita perlukan masa untuk yakinkan mereka bahawa usaha yang dijalankan ini adalah untuk merapatkan lagi jurang di antara bandar dengan luar bandar.

“Usaha ini akan diteruskan oleh kerajaan pimpinan WARISAN dengan kerjasama yang baik daripada kerajaan Persekutuan,” katanya kepada media di Ampang hari ini.

PRK Kimanis semalam menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi kawasan itu menerusi kemenangan Mohamad, 47, selepas memperoleh sebanyak 12,706 undi berbanding Karim, 66, yang mendapat 10,677 undi sekali gus menang dengan majoriti 2,029 undi.

Terdahulu, Mohamed Azmin bersama Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin melakukan kunjungan ke Pasar Pekan Ampang dan mengedarkan limau kepada pengunjung dan peniaga di situ sempena Tahun Baru Cina.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai ketidakhadiran beliau pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di Petaling Jaya semalam, beliau hanya menjawab ringkas: “Saya berada di Kimanis”.

Beliau juga enggan mengulas lanjut isu surat tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadap Zuraida oleh Lembaga Disiplin PKR.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 11:45 AM
    Azmin mengagihkan limau kepada pengunjung Pasar Pekan Ampang dalam kunjungannya hari ini. Foto Khairul Azhar Ahmad