LAUT di Terengganu tidak selamat untuk sebarang aktiviti mandi-manda sepanjang Monsun Timur Laut. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Terengganu: Ombak yang beralun tenang di permukaan laut bukanlah petanda pantai itu selamat untuk aktiviti mandi-manda kerana terdapat beberapa faktor yang boleh mengancam keselamatan pengunjungnya.

Pakar oseanografi, Profesor Madya Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata, walaupun ombak dilihat tenang namun di dasarnya terdapat arus karau atau ‘rip current’ yang sangat berbahaya dan boleh menjadi ‘perangkap maut’ kepada pengunjung yang mandi-manda.

“Sebenarnya laut di Terengganu tidak selamat untuk sebarang aktiviti mandi-manda sepanjang Monsun Timur Laut ini kerana tenaga ombak yang sangat kuat dari kawasan tengah Laut China Selatan sentiasa aktif dan boleh membawa tenaga ke kawasan pantai pada bila-bila masa dan ini yang sering menjadi punca lemas.

“Namun, pengunjung yang terpesona dengan keindahan pantai dan ketenangan ombak itu akan mandi-manda sedangkan ia umpama ‘perangkap maut’ kepada mereka.

“Walaupun mungkin tahu berenang namun situasi cemas akan menyebabkan mereka panik dan gagal menyelamatkan diri,” kata pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu ketika dihubungi Bernama, semalam.

Menurutnya, kajian dijalankan UMT mendapati ‘rip current’ sering berlaku di beberapa lokasi antaranya Pantai Pandak, Chendering dan Teluk Bidara serta Teluk Lipat di Dungun.

Pada Jumaat lepas, empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun dikhuatiri lemas selepas ditarik ombak semasa mandi di pantai Teluk Bidara, Dungun manakala seminggu sebelum itu, dua pelajar Universiti Teknologi MARA Cawangan Chendering lemas di Pantai Pandak.

Terengganu mempunyai pantai sepanjang 244 kilometer di tujuh daerah iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Hanya Hulu Terengganu satu-satunya daerah yang tidak mempunyai pantai di negeri itu.

Setiap tahun, Terengganu akan merekodkan kejadian mati lemas terutama pada musim Monsun Timur Laut dan kejadian itu sering berlaku di Pantai Pandak.

Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata, selain faktor ‘rip current’, penyelidikan oleh UMT juga mendapati faktor muka bumi seperti kecerunan turut membahayakan pengunjung yang mandi di pantai.

“Penyelidik UMT pernah ke pantai Rhu 10 di Setiu ketika air surut dan mendapati kawasan pantai itu sangat curam seperti bukit sedangkan ia tidak akan terlihat pada mata kasar ketika air pasang dan ini sangat berbahaya untuk mereka yang mandi-manda,” katanya yang menyarankan pengunjung bertanya kepada penduduk setempat berhubung tahap keselamatan di pantai sebelum memutuskan mahu mandi di kawasan itu.

Bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, Mohd Fadzil menyarankan agar kerajaan mewujudkan lebih banyak pasukan penyelamat di pantai yang sering dikunjungi bagi mengurangkan risiko kejadian mati lemas.

“Sekurang-kurangnya pengunjung akan lebih berwaspada dengan amaran yang diberikan. Pertolongan cemas juga lebih mudah diberikan dengan pantas sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Katanya, sudah tiba masanya untuk sekolah-sekolah di Terengganu memberi pendedahan kemahiran berenang atau keselamatan di air kepada pelajar kerana Terengganu adalah negeri pesisir pantai dan mereka seharusnya memiliki kemahiran itu.

“Di UMT contohnya, kebanyakan pelajar dari benua Eropah berasa terkejut dan hairan kerana pelajar Terengganu tidak mahir berenang sedangkan ia adalah kemahiran yang sangat perlu memandangkan Terengganu adalah negeri maritim,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 12:40 PM