FIRDAUS beramah mesra dengan penumpang bas ekspres sempena pelancaran Ops Tahun Baru Cina di Melaka Sentral, hari ini. FOTO Nazri Abu Bakar.
FIRDAUS beramah mesra dengan penumpang bas ekspres sempena pelancaran Ops Tahun Baru Cina di Melaka Sentral, hari ini. FOTO Nazri Abu Bakar.
Nazri Abu Bakar


SERAMAI 56 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka ditugaskan melakukan penyamaran sepanjang perayaan Tahun Baru Cina bagi mengesan kesalahan dilakukan pemandu bas ekspres.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, jumlah berkenaan membabitkan empat anggota setiap hari untuk tempoh bermula 18 Januari hingga 2 Februari ini.

Beliau berkata, mereka memakai pakaian biasa menaiki bas ekspres bagi mengesan kesalahan dilakukan dengan saman dikeluarkan sebaik mereka sampai ke lokasi.

Katanya, mereka ditugaskan di semua laluan ke utara, selatan, timur dan barat termasuk berkaitan dasar tata kelakuan pemanduan.

“Hari ini, sebanyak 15 pemeriksaan pemandu dan syarikat bas ekspres dilakukan setakat 11.30 pagi termasuk aspek keselamatan dan teknikal kenderaan masing masing.

“Daripada pemeriksaan itu, satu saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada pemandu kedua. Sementara belum ada saman dikeluarkan menerusi penyamaran," katanya.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran Ops Tahun Baru Cina di Melaka Sentral, hari ini, yang membabitkan pemeriksaan keselamatan bas ekspres.

Firdaus berkata, Ops TBC bertujuan memberi keselesaan kepada pengguna dan mengurangkan statistik kemalangan jalan raya pada musin perayaan.

Beliau berkata, ia bertujuan membudayakan pemanduan berhemah dan pematuhan undang-undang selain mengambil tindakan tegas membabitkan tempoh penguatkuasaan.

“Strategi penguatkuasaan membabitkan pemeriksaan rekod pemilik pemandu (OPS SISiH) dengan tumpuan kepada pemandu bas ekspres yang mempunyai saman tertunggak.

“Ia turut membabitkan pemeriksaan bas di depoh dengan membabitkan teknikal bas seperti tayar, brek, lampu pembalik cahaya dan lampu isyarat.

“Selain itu, rondaan di lebuh raya membabitkan fokus lapan kesalahan termasuk tidak mematuhi lampu isyarat, memotong barisan berkembar, menggunakan telefon bimbit dan memotong barisan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 2:00 PM
Digital NSTP Subscribe