Suliati Asri

SEBAGAI rakyat dan individu prihatin pelbagai jenis bantuan dihulurkan kepada mereka yang memerlukan dalam bentuk wang ringgit, barangan keperluan dan banyak lagi.

Namun, dengan kecanggihan teknologi maklumat kini penipuan serta keselamatan dalam pemindahan sumbangan semakin berleluasa sekali gus menyebabkan segelintir penderma mulai was-was menghulurkan sumbangan terutama membabitkan wang ringgit.

Hal itu secara tidak langsung memberi kesan kepada ramai pihak terutama badan kebajikan serta individu yang benar-benar memerlukan bantuan.

Justeru, rangkaian pembayaran utama Malaysia, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) menerusi DuitNow bukan saja memudahkan proses menderma, ia juga selamat dan wang yang didermakan itu terus sampai kepada si penerima yang layak.

DuitNow adalah perkhidmatan dikendalikan PayNet yang membolehkan pelanggan bank memindahkan wang dengan mudah, serta merta dan selamat hanya menggunakan telefon bimbit penerima, nombor kad pengenalan atau nombor pendaftaran perniagaan.

Derma dibuat melalui DuitNow lebih mudah dan selamat kerana sumbangan disalurkan secara terus dan selamat kepada penerima.

Bagi menggunakan DuitNow, ia cukup mudah di mana pelanggan hanya perlu log masuk ke saluran Perbankan Mudah Alih dan Internet pilihan mereka kemudian cari DuitNow di bawah menu Transfer Funds atau Pemindahan Dana.


Kini, ada lebih 35 bank menyokong perkhidmatan DuitNow. DuitNow juga mencatatkan hampir 8 juta pengguna dan dengan cepat menjadi penyelesaian e-Pembayaran pilihan untuk rakyat Malaysia di seluruh negara.

Terbaru, PayNet menjalinkan kerjasama dengan Yayasan IJN, organisasi bukan berasaskan keuntungan yang mengumpulkan dana bagi pesakit kurang bernasib baik di Institut Jantung Negara (IJN) yang mengubah landskap derma.

Kerjasama itu membolehkan PayNet memanfaatkan kuasa dan mempamerkan fleksibiliti perkhidmatan DuitNow untuk memperkasa penderma sama ada syarikat atau individu untuk menyalurkan sumbangan kepada Yayasan IJN menggunakan hanya nombor pendaftaran syarikat, 362551V.

Sebagai meraikan kerjasama itu, DuitNow menyumbang RM20,000 kepada Yayasan IJN.

Pengumuman itu menonjolkan kepada pengguna cara memanfaatkan DuitNow untuk membuat dan menerima bayaran bagi semua jenis usaha termasuk menderma dan beramal.


Timbalan Pengarah PayNet, Khairuan Abdul berkata, DuitNow mengubah landskap e-Pembayaran Malaysia yang lebih mudah, cekap dan secara langsung 24 jam.

Katanya, pihaknya juga kini mahu memanfaatkan kuasa teknologi pembayaran elektronik untuk membantu rakyat Malaysia memberi kembali kepada sesama sendiri.

“Kami berbangga dengan kolaborasi bersama Yayasan IJN untuk menggunakan fungsi dan keupayaan DuitNow yang luar biasa untuk meningkatkan kemurahan hati rakyat Malaysia.

“Kami percaya fungsi menderma melalui DuitNow akan membantu memperkasakan Yayasan IJN dengan dana yang diperlukan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sosial dan Kebajikan serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan IJN, Raja Datin Seri Zuraida Raja Mansur berterima kasih kepada sumbangan besar penderma sekali gus membolehkan Yayasan IJN berjaya meneruskan perbatasan sokongan terhadap pesakit memerlukan.

“Oleh kerana kos rawatan perubatan terus meningkat, sumbangan diperoleh menjadi lebih kritikal. Justeru, dengan kerjasama PayNet melalui DuitNow ini, kami harap dapat tingkatkan dana dan beri penjagaan berkualiti kepada semua pesakit yang layak,” katanya.

RAJA Zuraida. FOTO Zunnur Al Shafiq

Ditubuhkan pada 1995, misi Yayasan IJN untuk meningkatkan sokongan dermawan untuk kerja-kerja dijalankan di IJN. Yayasan ini mengumpul dan mengurus dana awam untuk membantu kos pembedahan serta kebajikan pesakit dan pada masa sama membantu IJN dalam penyelidikan, pendidikan dan latihan.

Yayasan IJN juga mengeluarkan RM4 juta setahun di bawah Program Bantuan Pesakit untuk memberi bantuan kewangan kepada pesakit yang miskin, memerlukan dan layak bagi mendapatkan pembedahan serta rawatan perubatan di IJN.

Sejak pertubuhannya, Yayasan IJN menyediakan bantuan perubatan atau kewangan kepada lebih daripada 2,000 pesakit yang memerlukan termasuk lebih daripada 300 pesakit pediatrik.

Sumbangan kepada Yayasan IJN melalui DuitNow boleh dilakukan bermula hari ini. Semua derma kepada yayasan itu boleh disalurkan menggunakan nombor pendaftaran syarikat mereka 362551V.

35 rangkaian perbankan menawarkan perkhidmatan DuitNow

Derma yang dibuat melalui DuitNow selamat, mudah dan segera serta semua sumbangan sepenuhnya ditolak cukai.

Justeru, jika anda ingin menderma, pemindahan wang menerusi DuitNow nyata pilihan utama demi menjamin keselamatan, mudah serta mesra pengguna dan paling penting sumbang yang disalurkan sampai kepada pihak yang sepatutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 9:00 AM