Orang ramai mengerumuni lokasi penemuan mayat bayi perempuan di di Lorong 10 Fasa 3 Bandar Baru Samariang dekat Kuching semalam. Foto Melvin Joni

MAYAT bayi perempuan ditemui dalam longkang di Lorong 10 Fasa 3 Bandar Baru Samariang dekat Kuching semalam.

Mayat bayi malang itu ditemui oleh orang awam kira-kira 6 petang dalam keadaan masih bertali pusat.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, susulan penemuan itu pihaknya menjalankan siasatan dan berjaya mengenal pasti seorang perempuan berusia 20 tahun yang disyaki ibu kepada bayi terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya belum menahannya kerana perempuan itu masih menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menurutnya, sebelum itu pihaknya menerima laporan daripada daripada seorang doktor di HUS yang memaklumkan mengenai seorang ibu menyembunyikan kelahiran pada 11 pagi semalam.

"Perempuan itu dikatakan ke HUS untuk mendapatkan rawatan dan disyaki cuba menyembunyikan kelahiran walaupun mengalami pendarahan serta tanda melahirkan anak.

"Apabila disoal, dia tidak mengaku ada melahirkan anak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun, penafian perempuan itu terbongkar apabila mayat bayi itu ditemui yang juga tidak jauh dari tempat tinggalnya.

Awang berkata, mayat bayi itu juga dihantar ke HUS untuk tindakan lanjut dan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 11:22 AM