Tin makanan udang yang ditemui dalam but kereta ketika pemeriksaan di ICQS, Bukit Kayu Hitam malam tadi. Foto Ihsan MAQIS
Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk makanan udang (artemia) dari Thailand pada malam tadi.

Pengarah MAQIS Kedah Lily Roslind berkata, rampasan yang dilakukan pada 8.30 malam itu adalah hasil pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam.

Menurutnya, ia adalah hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta sebelum menemui 59 tin makanan udang dalam but kenderaan terbabit.

“Hasil siasatan mendapati, makanan udang itu dibawa tanpa dokumen yang sah seperti permit import dan lesen pengimportan mengikut Akta Makanan Haiwan 2009.

“Nilai rampasan itu dianggarkan RM800 tetapi tiada tangkapan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lily berkata, perbuatan mengimport produk perikanan tanpa permit sah yang dikeluarkan MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Sekyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 11:40 AM