MUNZIR yang berasal dari Idlib menunjukkan serpihan bom yang masih ada di dalam badannya.
Muhaamad Hafis Nawawi


PERUT terburai, patah kedua-dua kaki selepas terkena bom tentera Bashar pada 2012 hingga menyebabkan dirinya koma selama 17 hari.

Itu detik hitam dalam hidup Munzir Khatib Abu Abdul Rahman, 39, selepas terkena letupan mortar yang digunakan tentera rejim Bashar al Assad menyerang orang awam, pada Ogos 2012 lalu.

Munzir Khatib ketika itu antara ribuan penduduk Idlib di Syria yang mengadakan demonstrasi aman menentang pemerintahan Bashar dan sehingga kini, perang saudara di negara itu masih berlanjutan bagai tiada kesudahannya.

Akibat parah dalam serangan itu, sepanjang rawatan di hospital denyutan jantung Munzir Khatib pernah terhenti selama tiga kali, namun Allah masih menyayanginya apabila dia terselamat dalam insiden itu.

Pun begitu, Munzir Khatib yang juga penduduk asal Idlib sehingga kini terpaksa hidup dengan serpihan bom itu kerana ia masih ada di dalam badannya.

Mengimbas kembali kejadian berlaku pada 2012 itu, Munzir berkata, dia bersama penduduk yang mengadakan demonstrasi diserang tentera rejim Bashar dari kawasan pergunungan menggunakan mortar.

MUNZIR KHATIB ABU ABDUL RAHMAN

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan 16 penduduk terkorban, ada yang badan hancur berkecai sehingga terpaksa dikutip cebisan daging sebelum dimasukkan ke dalam plastik.

“Saya yang tidak sedarkan diri pula dihantar ke sebuah hospital sebelum dipindahkan ke hospital di Turki dan menjalani 13 kali pembedahan.

“Ramai menyangkakan saya sudah mati akibat serangan sehingga mereka mengumpul wang dan menyerahkannya kepada isteri,” katanya ketika ditemui di Idlib, Syria.

Wartawan Harian Metro bertemu Munzir Khatib dalam misi kemanusiaan ‘Bantuan Musim Sejuk Syria’ bersama Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) bagi mengagihkan bantuan kepada pelarian di negara berkenaan.

Kini, Munzir Khatib menjadi antara sukarelawan Muslim Care di Idlib untuk membantu penduduk di situ.

Menurut Munzir Khatib, dia memilih untuk terus tinggal di Syria kerana ingin membantu rakyat di negara sendiri dan berharap beroleh pahala dengan sumbangannya itu.

“Biarlah saya berkorban tenaga di sini dengan membantu pelarian dan menjaga sekolah Muslim Care yang ada di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 12:01 PM