Juwan Riduan


SERAMAI 12 murid di beberapa sekolah rendah berasingan di Sabah disahkan dijangkiti Influenza A (H1N1), sejak penularan wabak itu 15 Disember sehingga Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) tidak mendedahkan lokasi murid yang dikesan dijangkiti wabak itu.

Pengarah JPNS, Dr Mistirine Radin berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tindakan lanjut.

“Sehingga Jumaat lalu, kami laporkan ke kementerian baru 12 orang (murid yang dijangkiti Influenza A).

“Semua terkawal dan sedang dirawat di hospital,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kebagu, Kota Kinabalu, hari ini.

Pada 29 Disember lalu, Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merekodkan lapan kes H1N1 membabitkan kanak-kanak di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 1:40 PM