GAMBAR kenangan Allahyarham Muhammad Ikhwan (kiri) bersama ibu bapa dan adik-beradiknya. FOTO Ihsan Ahmad Azhan
Malik Muhamad


“SEMOGA kejadian ini menjadi pengajaran kepada orang lain supaya lebih berhati-hati,” kata Ahmad Azhan Abdul Hamid, 53, bapa kepada Muhammad Ikhwan, 21, yang ditemui lemas bersama tiga rakannya di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan, Dungun.

Mayat keempat-empat penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) itu ditemui semalam, selepas hilang sejak Jumaat lalu.

Ahmad Azhan yang juga Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu berkata, dia reda dengan kejadian itu dan bersyukur anaknya ditemui walaupun hanya jasad.

“Saya dapat mengecam mayatnya kerana tiada perubahan yang ketara pun. Ketika dikafankan wajahnya kelihatan bersih dan berseri,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu, hari ini.

JENAZAH mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Al-Arifi. FOTO Zuhainy Zulkiffli.

Jenazah Muhammad Ikhwan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mengabang Tengah, Kuala Terengganu pada 6 petang semalam.

Bagaimanapun, Ahmad Azhan mengakui sedih apabila tidak berjumpa Allahyarham selama 10 hari dan kepulangannya semalam dalam keadaan yang tidak diingininya.

Katanya, arwah biasanya pulang ke Kampung di Mengabang Tengah, setiap minggu namun, kira-kira 5.30 petang Jumaat lalu, dia menghubungi memaklumkan tidak dapat balik.

“Katanya ada latihan olahraga dan pemilihan pasukan bola sepak pada Sabtu. Arwah ada menyatakan mahu bermain bersungguh-sungguh supaya terpilih mewakili pasukan politekniknya.

“Saya merestuinya memandangkan kecederaan dialami akibat kemalangan sebelum ini sudah pulih. Tapi itu yang membuatkan saya sedih, sudah 10 hari tidak bertemu, tiba-tiba dapat panggilan daripada rakan arwah memaklumkan anak hilang di laut,” katanya.

Pada 17 Januari lalu, empat penuntut PSMZA, Muhammad Ikhwan; Muhamad Zul Fahmi Zuki; Mohamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin; dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, kesemuanya berusia 21 tahun hilang ketika mandi di Pantai Teluk Bidara.

Bagaimanapun dua rakan mereka iaitu Mohamad Irfan Kamaruzaman dan Hazman Zamili, sempat menyelamatkan diri.

Mayat kesemua mangsa ditemui mulai 7.30 pagi hingga 3 petang semalam.

Berita berkaitan

Mangsa lemas kedua ditemui

Seorang jumpa, tiga lagi masih hilang

Empat penuntut PSMZA belum ditemui

'Mangsa mungkin dah hanyut lebih jauh'

'Petanda kain pelikat koyak'

'Kes lemas kedua babitkan penuntut PSMZA'

'Kereta terbabas teringat anak'

'SAR empat penuntut PSMZA diteruskan'

'Mohamad Amir mahu wakil negara - Guru silat'

'[UPDATE] Terpisah dipukul ombak'

'4 penuntut politeknik dikhuatiri lemas [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 6:43 PM