Frankie Poon Ming Fung. FOTO Ihsan pembaca.
BERNAMA

SERAMAI 200 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negeri Sabah akan memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di negeri ini yang bermula hari ini hingga 2 Februari ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, sebanyak 16 jenis barangan terbabit dalam skim tahun ini iaitu pertambahan tiga barangan membabitkan cili merah, tomato dan ubi kentang import dari China, berbanding 13 barangan tahun lalu.

Ketika melancarkan skim itu di sini hari ini, Poon berkata bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga tidak bertanggungjawab, tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dilaksanakan.

Menurutnya, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh membawa kepada denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu.

Bagi syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000, katanya.

Poon berkata, kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal juga boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi individu dan sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 bagi syarikat.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga akan membuat pemantauan bagi memastikan bekalan barangan mencukupi dan harga berpatutan. Saya berharap pengguna turut membantu kerajaan dengan menyalurkan maklumat mengenai peniaga yang gagal mematuhi skim itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 6:46 PM