ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan Eck Liong selepas kereta dipandunya remuk. FOTO Amir Mamat.


“BERDERAU darah saya apabila melihat ada kemalangan di hadapan mata, lalu saya memberhentikan kereta di tepi jalan dan berusaha untuk membantu.

“Malangnya, saya tidak mampu berbuat apa-apa sehingga beberapa pengguna jalan raya lain turut sama membantu.”

Itu dialami wanita, Atina Osman, 42, yang menjadi individu terawal membantu mangsa kemalangan maut di Kilometer 2, Jalan Serkam-Bemban di Jasin, tengah hari ini.

Kemalangan pada 12.30 tengah hari itu membabitkan dua kenderaan iaitu kereta Mercedes dan treler yang membawa muatan batu bata menyebabkan pemandu kereta mewah terbabit meninggal dunia.

Atina berkata, dia yang memandu kereta Proton Wira menghala ke Bemban terkejut apabila melihat ada sebuah kereta dalam remuk berada di tengah jalan.

Katanya, disebabkan pada ketika itu tiada orang awam melalui jalan berkenaan, dia memberanikan diri untuk mendekati kereta terbabit dan mendapati ada dua mangsa berada dalam kenderaan itu.

“Saya melihat seorang mangsa dipercayai anak kepada pemandu kereta itu dapat dikeluarkan orang awam manakala pemandunya masih tersepit dan tidak boleh dikeluarkan.

“Mangsa akhirnya dikeluarkan seorang lelaki dan dipercayai parah dan masih bernyawa sebelum saya membuat panggilan kecemasan.

“Apabila dimaklumkan mangsa meninggal dunia, saya terkejut. Saya tidak mampu untuk membantu keluarkan mangsa, sekali gus tidak dapat menyelamatkannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, mangsa maut adalah pemandu kereta mewah itu, Yeo Eck Liong, 60, manakala anak mangsa, Yoe Shi Guang, 20, patah kaki dan dihantar ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, pemandu treler, Abu Husain Alus, 56, tidak cedera.

“Siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu Eck Liong dari arah Serkam ke Bemban itu dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan treler terbabit dari arah bertentangan, menyebabkan mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 6:53 PM