HUAWEI Mate 30 Pro 5G
Mahaizura Abd Malik


SYARIKAT pengeluar telefon pintar gergasi, Huawei mengumumkan bakal memperkenalkan Huawei Mate 30 Pro 5G yang mempunyai keupayaan mencapai tahap kelajuan terpantas sehingga 1.8 mbps yang juga pertama seumpamanya di Malaysia.

Peranti terbaharu yang diiktiraf SIRIM Berhad sebagai telefon pintar 5G pertama di negara ini dijangka menemui pengguna dalam masa terdekat.

Sebelum ini, syarikat peneraju rangkaian 5G terbabit memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Telekom Malaysia, Maxis, U Mobile dan Celcom dalam projek pembinaan infrastruktur 5G.

Kemunculan peranti ini bukan saja mencipta sejarah, malah tepat pada waktunya ketika Malaysia mengumumkan kesediaan melancarkan teknologi 5G secara komersial pada suku ketiga tahun ini.

Wartawan Harian Metro berkesempatan melihat perkembangan terkini ketersediaan teknologi Huawei merangkumi peranti, jalur lebar mudah alih dan CPE Huawei di lokasi Projek Demonstrasi 5G di Langkawi, Kedah, hari ini.

Dengan pengumuman terbaharu ini, Huawei jelas bersedia sepenuhnya menyokong hasrat Malaysia merealisasikan peralihan liputan rangkaian 5G.

Media juga diberi peluang secara eksklusif merasai sendiri pengalaman menguji kebolehan telefon pintar itu menggunakan liputan rangkaian Maxis 5G di Langkawi Seaview Hotel dan Dataran Helang.

Gandingan padu liputan 5G dan teknologi peranti 5G ini menjadikan penstriman langsung, muat turun, muat naik video dan panggilan video 5G lebih lancar dan pantas tanpa sebarang gangguan.

Kelebihan masa pendam lebih rendah pada peranti ini membolehkan pengguna menikmati kualiti resolusi tinggi serta isyarat liputan yang lebih stabil.

Dilengkapi 14 antena 5G daripada 21 antena membolehkannya menyokong rangkaian 5G di seluruh dunia sekali gus menjadikan peranti ini satu pilihan tepat untuk dimiliki.

Daripada segi spesifikasi teknikalnya, ia dikuasakan pemproses teknologi terkini kirin 990 5G SoC yang menyokong seluruh rangkaian dari 2G hingga 5G termasuk infrastruktur rangkaian teras bukan persendirian (NSA) dan persendirian (SA).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 7:51 PM