RAKAMAN yang tular di media sosial.
Yusmizal Dolah Aling


PEMANDU pacuan empat roda yang melanggar penunggang motosikal di Lebuh Raya Kuala Lumpur - Seremban sehingga tular di media sosial sudah ditahan polis, hari ini.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor dalam satu kenyataan di Facebook berkata, lelaki itu ditahan di Shah Alam, Selangor selepas dia dikesan terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Katanya, pemandu pacuan empat roda itu ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 11.41 pagi semalam.

“Pengadu sedang menunggang motosikal bersendirian dari Bangi menuju ke Puchong dan apabila sampai di Kilometer 298.2 Lebuh Raya Kuala Lumpur - Seremban arah Kuala Lumpur, mangsa yang berada di lorong kecemasan tiba-tiba dilanggar oleh pacuan empat roda yang dipandu melulu dan merbahaya.

“Pemandu itu yang datang dari lorong kanan mengubah haluan secara merbahaya masuk ke laluan motosikal dan melanggar bahagian tepi motosikal menyebabkan penunggang jatuh di bahu jalan, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Katanya, kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan di kaki serta kedua-dua belah tangan.

Video berdurasi 26 saat itu tular di media sosial dengan ditonton lebih 100,000 netizen yang mengutuk kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 8:34 PM