ANTARA penagih ditahan dalam operasi Ice Breaker (OIB) di seluruh Terengganu. FOTO Ihsan PDRM.
ANTARA penagih ditahan dalam operasi Ice Breaker (OIB) di seluruh Terengganu. FOTO Ihsan PDRM.
Zaid Salim


SERAMAI 26 tokan dadah ditahan dalam Ops Damm Tokan (ODT) di seluruh Terengganu selama dua hari bermula Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu Superintendan Roslan Tahir berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 23 hingga 44 tahun.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri enam individu di Kuala Terengganu, Besut (5), Dungun (4), Hulu Terengganu (2) serta masing-masing tiga di Marang, Kemaman dan Setiu.

“Dalam operasi itu, polis turut merampas syabu seberat 11.9 gram; 10.3 gram heroin; 2,176 gram pil kuda 5.5 liter air ketum.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 39(A)(2), Seksyen 39(A)(1) dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya.

Menurutnya, selain ODT bermula awal Januari lalu, pihaknya turut melakukan Ops Ice Breaker (OIB) dan Ops Double Dose (ODD) yang mensasarkan port penagihan dadah.

Katanya, seramai 258 individu ditahan kerana terbabit dalam aktiviti penagihan dan pengedaran dadah dalam serbuan di sembilan ‘sarang' penagihan di seluruh negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 9:15 PM