ANTARA pengguna yang diperiksa sepanjang operasi berkenaan. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan notis saman terhadap terhadap 266 pemilik kenderaan membabitkan pelbagai kesalahan sempena Op Tahun Baharu Cina (TBC) 2020, bagi tempoh dua hari, bermula Sabtu lalu.

Pengarah JPJ Pahang, Mohammad Abdullah berkata, saman itu dikeluarkan selepas pihaknya membuat pemeriksaan ke atas 1,206 pelbagai kenderaan termasuk 254 motosikal.

“Op TBC 2020 ini, kita adakan bermula Sabtu lalu sehingga 2 Februari depan tidak termasuk dua hari cuti Tahun Baru Cina. Objektif operasi adalah untuk memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya serta mengurangkan statistik kemalangan jalan raya.

“Dalam masa sama, kita turut melaksanakan Ops Motosikal Khas di seluruh negeri ini bermula semalam hingga esok (Rabu),” katanya dalam sidang media sempena Op TBC 2020 di Jalan Teluk Sisek di Kuantan, malam tadi.

Tambahnya juga, JPJ akan melipatgandakan penguatkuasaan di semua laluan utama bagi mengelakkan berlakunya kemalangan dan kesesakan lalu lintas.

“Selain itu terdapat juga tempoh larangan penggunaan kenderaan barangan iaitu bermula (sebelum perayaan) 23 Januari hingga 24 Januari serta (selepas perayaan) 27 hingga 28 Januari.

“Seramai 352 anggota JPJ Pahang dari semua bahagian akan terbabit sepanjang Op TBC berlangsung,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, dalam operasi malam tadi, sehingga jam 10 malam, sebanyak 383 kenderaan diperiksa iaitu membabitkan 128 kereta, 252 motosikal dan tiga buah lori.

“Daripada jumlah itu sebanyak 129 notis dikeluarkan iaitu 101 notis saman dan 28 lain-lain notis. Jumlah kesalahan utama yang dikesan adalah tiada cukai jalan dan tiada lesen memandu.

“Operasi malam ini membabitkan seramai 212 anggota penguat kuasa termasuk JPJ, polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 9:49 AM