Wan Sani (dua dari kiri) menyerahkan dokumen IBR kepada Ruslan di majlis IBR Penjara Marang bersama SPRM Terengganu di Penjara Marang semalam. Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

PENJARA Marang mengambil tindakan tegas dengan membuang tiga kakitangannya selepas dikesan terbabit dengan rasuah sejak 2017 hingga tahun lalu.

Pengarah Penjara Terengganu Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah berkata, pihaknya memandang serius mengenai kesalahan rasuah dalam kalangan kakitangannya.

Menurutnya, tiga kakitangan yang diambil tindakan itu ditahan kerana melakukan kesalahan menyeludup artikel larangan ke penjara.

“Artikel larangan itu termasuk tembakau, wang dan telefon bimbit. Barangan itu diseludup masuk ke penjara untuk penghuni dengan bayaran tertentu.

“Kes salah laku itu ialah kes terpencil dan membabitkan kakitangan baru yang mudah tertarik dengan habuan lumayan ditawarkan penghuni atau ahli keluarga penghuni,” katanya.

Beliau ditemui di majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Penjara Marang bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di Marang semalam.

Hadir sama Pengarah SPRM Terengganu Ruslan Che Amad dan Pengarah Penjara Marang Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff.

Ahmad Saidi berkata, pihaknya sentiasa memantau kesalahan mengambil rasuah dalam kalangan kakitangan penjara dengan mewujudkan unit risikan khas.

“Seperti jabatan lain, penjara mempunyai risikan tersendiri untuk memantau kakitangan yang melakukan kesalahan.

“Kakitangan penjara memang berisiko dan berpotensi untuk terbabit dengan kesalahan rasuah kerana kami berhubung terus dengan penghuni penjara dan ahli keluarga mereka,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap IBR yang dilaksanakan oleh 200 kakitangan Penjara Marang itu memberi peringatan dan amaran kepada semua kakitangan untuk menghindari rasuah.

“Selain IBR, kami akan menganjurkan lebih banyak program kesedaran bersama SPRM untuk mendidik kakitangan supaya amanah dalam menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu Ruslan berkata, Penjara Marang menjadi jabatan kerajaan pertama yang melaksanakan IBR di negeri itu untuk tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 11:28 AM