ANGGOTA bomba berusaha membantu mengeluarkan penunggang motosikal yang terperosok di bawah kereta Perodua Myvi dalam kemalangan di Kilometer 22 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan dekat Asun. FOTO Ihsan Pembaca
ANGGOTA bomba berusaha membantu mengeluarkan penunggang motosikal yang terperosok di bawah kereta Perodua Myvi dalam kemalangan di Kilometer 22 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan dekat Asun. FOTO Ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA lihat mangsa sudah tidak bergerak, lelaki warga emas itu terperosok di bawah kereta Perodua Myvi itu dalam keadaan berlumuran darah,” kata saksi Muhammad Ayman Joshua, 33.

Dalam kejadian 8.30 pagi hari ini, Khor Guan Chew, 61, maut dalam kemalangan di Kilometer 22.2, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, Simpang Tiga Asun, dekat Jitra.

Muhammad Ayman berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda C70 bersendirian dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Mangsa nak belok tetapi tak perasan ada kereta di situ menyebabkan berlaku perlanggaran,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan maut itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi yang dipandu wanita berusia 26 tahun dari arah Changlun ke Alor Setar dan tiba-tiba motosikal ditunggangi mangsa dari bahu jalan melintas menyebabkan berlaku kemalangan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan 8.45 pagi berhubung kemalangan itu.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra tiba di lokasi 8.51 pagi.

“Mangsa terperosok di bawah kereta Perodua Myvi itu kira-kira lapan minit dan dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

“Warga emas itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian dan operasi tamat sepenuhnya pada 9.41 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 11:56 AM
Digital NSTP Subscribe