SUSPEK ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. FOTO Ihsan Polis
Yusmizal Dolah Aling


PEMANDU pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban seperti yang tular di media sosial, semalam, direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, permohonan reman terhadap lelaki itu dibuat di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini.

Katanya, saringan awal ke atas suspek didapati negatif dadah dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

“Kita mohon pemilik ‘dash-cam’ membuat laporan polis atau berhubung dengan Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Deputi Superintendan Faizal Razali di talian 019-3623327 bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, JSPT Selangor dalam satu kenyataan di Facebook berkata, lelaki itu ditahan di Shah Alam selepas dia dikesan terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Katanya, lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Kejadian itu yang tular di media sosial mengundang reaksi marah warganet mengenai tindakan pemandu berkenaan kerana memandu laju dan menggunakan lorong kecemasan.

Video berdurasi 26 saat itu tular dan ditonton hampir 200,000 netizen yang mengutuk kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 2:31 PM