ANTARA warga asing yang diperiksa pegawai JIM dalam Operasi Bersepadu, semalam. FOTO ihsan JIM
ANTARA warga asing yang diperiksa pegawai JIM dalam Operasi Bersepadu, semalam. FOTO ihsan JIM
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 16 pekerja pusat jagaan orang tua ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang di tiga lokasi berasingan di negeri ini, semalam.

Pengarah JIM Pulau Pinang Muhamad Husni Mahmud berkata, pihaknya memeriksa seramai 18 individu di sebuah pusat jagaan orang tua di Jalan Free School, Georgetown pada 9 pagi.

“Daripada jumlah itu, kami menahan 16 warga asing terdiri dua lelaki warga Nepal, dua wanita Vietnam, dua wanita Kemboja dan 10 wanita Indonesia berusia antara 20 hingga 45 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua warga asing itu memiliki permit kerja dalam sektor pembinaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Muhamad Husni berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga India berusia 30-an di sebuah restoran di Jalan Kampung Melayu, Ayer Hitam.

“Pada serbuan ketiga pula, kami menahan lima wanita warga India berusia antara 20-an hingga 40-an di sebuah restoran di Bandar Baru, Ayer Hitam.

“Dalam kesemua serbuan berkenaan, kami memeriksa seramai 31 individu dan 22 warga asing ditahan kerana didapati tiada permit kerja, salah guna pas dan tinggal lebih masa,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 5:52 PM