Noor Atiqah Sulaiman


SERAMAI 267,054 penumpang termasuk kru penerbangan sudah disaring melalui kaunter imbasan terma yang terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, penumpang berkenaan disaring dari 2,494 penerbangan yang mendarat di KLIA antara 15 hingga 20 Januari lalu.

Katanya, daripada jumlah berkenaan sebanyak 61 penumpang perlu menjalani saringan kedua kerana mempunyai suhu badan yang tinggi dan mempunyai tanda-tanda tidak sihat.

“Setiap penumpang yang melalui kaunter itu, kita akan saring dan sekiranya ada petanda tidak sihat mereka akan diasingkan. Pegawai yang bertugas akan membawa penumpang berkenaan ke bilik saringan kedua bagi melakukan pengesahan status kesihatan mereka.

“Selepas disaring, sekiranya tidak mempunyai sebarang petanda Koronavirus atau penyakit lain, kita akan melepaskan mereka. Sekiranya ada, mereka akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk di kuarantin.

“Bagi 61 penumpang yang disaring untuk kali kedua itu, ternyata mereka hanya mempunyai suhu badan yang tinggi dan mengalami demam biasa serta tidak mempunyai petanda mengalami virus Koronavirus (2019 n-CoV) ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke kaunter imbasan terma KLIA, di Sepang, hari ini.

Boon Chye berkata, kementerian membuat saringan yang ketat selepas menerima laporan mengenai penularan wabak baharu yang dikenali sebagai 2019 n-CoV.

“Kita adakan saringan ini sejak 31 Disember lalu selepas mendapat laporan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa wabak berkenaan boleh menular melalui manusia ke manusia.

“Disebabkan virus berkenaan boleh dibawa manusia, kita memperketatkan saringan setiap pelancong yang masuk ke negara ini kerana sekiranya tidak dikawal, ia akan menjejaskan komuniti di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Boon Chye meminta rakyat Malaysia yang baru pulang dari China dan mengalami gejala seperti seperti demam, selsema dan mempunyai tanda radang paru-paru dalam tempoh 14 hari untuk membuat pemeriksaan kesihatan di klinik berdekatan.

“Sekiranya ada jangkitan virus berkenaan kita akan kuarantin, tetapi setakat ini tiada kes dilaporkan,” katanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa China melaporkan, wabak Koronavirus yang bermula di Wuhan kini sudah mula merebak ke kawasan lain termasuk Beijing dan Shanghai.

Pihak berkuasa mengesahkan sejumlah 217 kes baru virus itu di China dengan empat kematian dilaporkan. Dari jumlah berkenaan sebanyak 198 kes dilaporkan berlaku di Wuhan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 7:06 PM
    KAMERA pengimbas haba bagi mengesan suhu badan penumpang yang tiba di KLIA. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
    KAMERA pengimbas haba bagi mengesan suhu badan penumpang yang tiba di KLIA. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR.