AL-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah berkenan menyempurnakan pemakaian pangkat Leftenan Muda kepada Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah di Istana Negara hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pemakaian Pangkat kepada dua anakanda baginda.

Majlis Pemakaian Pangkat itu disempurnakan sendiri oleh Seri Paduka berdua kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang dipakaikan pangkat Leftenan Muda dan Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah yang dipakaikan Leftenan Kolonel di Istana Negara.

Turut hadir pada majlis itu ialah kerabat Diraja Pahang serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.

Susulan pemakaian pangkat itu, Tengku Hassanal akan ditugaskan di 4 Briged Mekanize, Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Pahang, manakala Tengku Amir pula di Batalion Pertama Rejimen 505 (Askar Wataniah), Pahang.

Tengku Hassanal menamatkan pengajian ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom pada Disember 2019, selepas menjalani latihan di akademi itu selama 44 minggu.

Tengku Hassanal antara 242 pegawai kadet ditauliahkan di perbarisan Sovereign’s Parade di Sandhurst, yang dirasmikan oleh HRH Sophie, Countess of Wessex, sebagai mewakili Ratu Elizabeth ll pada 13 Disember 2019.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berangkat ke majlis perbarisan pentauliahan Tengku Hassanal itu.

Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst adalah pusat latihan tentera tersohor dunia. Sejak berdekad lalu, sebilangan anak raja Melayu menjalani latihan dan bimbingan di akademi berkenaan.

Al-Sultan Abdullah juga pernah menjalani latihan ketenteraan di Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst dari 1978 sehingga 1979 dan ditauliahkan oleh Ratu Elizabeth II pada 1980.

Antara lain yang menjalani latihan ketenteraan di akademi itu ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah; Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail , Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 7:16 PM