GAMBAR hiasan. FOTO Zunnur Al Shafiq.
BERNAMA

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan 266 notis saman atas pelbagai kesalahan dalam tiga hari pertama Op Penguatkuasaan Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2020, Sabtu lalu.

Pengarahnya Mohammad Abdullah berkata, operasi itu akan diteruskan sehingga 2 Februari ini di beberapa lokasi di seluruh negeri membabitkan 352 pegawai dan anggota.

Mohammad berkata, JPJ Pahang turut mengadakan Op Khas Motosikal di beberapa lokasi terpilih, termasuk di Jalan Teluk Sisek di sini, selama tiga hari bermula semalam.

“Tindakan ini bagi memastikan pengguna mematuhi peraturan ditetapkan, bagi mengelakkan berlakunya kemalangan dan kesesakan jalan raya sepanjang musim perayaan.

“Bagi operasi khas motosikal, kesalahan yang paling banyak dikesan ialah tiada lesen motosikal dan tiada cukai jalan,” katanya hari ini.

Mohammad berkata, setakat 12 tengah malam tadi, pihaknya mengeluarkan lebih 200 notis saman dalam operasi di Jalan Teluk Sisek, dengan 380 kenderaan termasuk 252 motosikal diperiksa.

Katanya, operasi itu turut menahan lima warga asing tanpa izin dari Myanmar, Sierra Leone, Pakistan dan Vietnam yang diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 7:46 PM