SHARUL (kanan) didenda RM2,500 pindah ternakan tanpa kebenaran. FOTO Zaid Salim.


BURUH didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Marang, hari ini atas tuduhan memindahkan ternakan tanpa kebenaran.

Hukuman diputuskan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda selepas tertuduh, Sharul Azmir Mohamad, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Sharul Azmir dari Kampung Belukar Jambu, Kuala Terengganu didakwa memindahkan seekor kerbau menggunakan lori tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu.

Kesalahan didakwa dilakukan di hadapan kedai motosikal di Kampung Binjai Rendah, Marang pada 10.40 pagi, 29 November 2019. Ketika itu tertuduh dalam perjalanan dari arah Kuala Berang menghala ke Kuala Terengganu.

Untuk itu tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Warta Kerajaan Negeri Terengganu) dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 36 (7) Akta Binatang 1953 dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan 2013), yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM15,000.

Prosiding dijalankan Pegawai Pendakwa JPV Terengganu Mohd Shahihan Mohd Tahar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh menjelaskan denda itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 8:02 PM