PENGARAH Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


SEBANYAK 42 kemalangan maut direkodkan dalam tempoh tiga hari Op Selamat 16 sempena perayaan Tahun Baru Cina sejak Sabtu hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, kematian tertinggi membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal sebanyak 28 kes.

“Statistik juga merekodkan 13 kes kecederaan parah manakala 55 kecederaan ringan.

“Kemalangan maut paling banyak direkodkan di Selangor dan Johor iaitu masing-masing 10 kes dan enam kes kemalangan maut di Kedah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azisman berkata, sebanyak 4,971 kemalangan direkodkan dalam tempoh tiga hari itu dengan Selangor menyumbang kes kemalangan tertinggi iaitu 1,557 manakala Johor (786) dan Kuala Lumpur (548).

“Polis turut mengeluarkan 70,804 saman. Daripada jumlah itu, 43,714 saman atau 60.98 peratus membabitkan enam kesalahan utama.

“Enam kesalahan itu ialah menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan garis berkembar,” katanya.

Op Selamat 16 yang dilancarkan sempena perayaan Tahun Baru Cina akan berlangsung sehingga 2 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 8:41 PM