FOTO NSTP


PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup kesemua operasi Lorong Tambah Nilai di plaza tol masuk seliaannya mulai 22 Januari hingga 3 Februari 2020 bagi membantu melancarkan pergerakan trafik pada musim cuti perayaan Tahun Baru Cina 2020 yang akan datang.

Ia bertujuan membantu mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh pelanggan beratur di lorong tambah nilai di plaza tol.

PLUS berkata, bagi memastikan perjalanan lebih selesa, PLUS menasihatkan agar pelanggan terlebih dahulu merancang perjalanan mereka dan yang paling utama, menambah nilai kad Touch ‘n Go lebih awal selain memastikan kad mereka mempunyai baki yang mencukupi.

“Pada musim perayaan kali ini, sebanyak dua juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya PLUS terutama pada waktu puncak iaitu pada 22, 23, 24, 27, 28 dan 31 Januari serta 1 Februari yang akan datang.

“Pergerakan di plaza tol dijangka terjejas sekiranya terdapat pelanggan yang terkandas dan mempunyai baki Touch ‘n Go tidak mencukupi.

“Apabila kejadian sebegini berlaku, ia akan mengganggu keselesaan dan kelancaran perjalanan pengguna lain,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, PLUS juga tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol.

“Namun, terdapat kira-kira 11,000 pusat tambah nilai kad Touch ‘n Go telah tersedia di seluruh negara. Malah, pelanggan boleh menambah nilai kad di 34 stesen minyak terpilih di sepanjang lebuh raya PLUS, 67 Kiosk Layan Diri (Self-Service Kiosk) yang terdapat di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan di plaza-plaza tol yang terpilih.

“Selain itu, orang ramai boleh menambah nilai kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go di Pusat Khidmat Pelanggan PLUS di plaza tol terpilih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 9:49 PM