MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
Zuliaty Zulkiffli


“HARI ini dua kali saya datang ke lokasi sama iaitu Kilometer 22 Lebuhraya Utara Selatan untuk menunda kenderaan yang terbabit dalam kemalangan.

“Petang ini, saya datang semula ke lokasi iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi kemalangan pagi tadi dan nampak mangsa sudah ditutup (maut),” kata Muhammad Ayman Joshua, 33,

Muhammad Ayman yang juga pemandu lori trak penunda menyaksikan kemalangan maut di kawasan sama dua kali hari ini dalam tempoh lapan jam.

Dalam kemalangan 4.30 petang tadi, mangsa yang dikenali sebagai Tay, 20, maut di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah lori yang sedang melakukan tugas am di lebuh raya itu.

Akibat perlanggaran itu, motosikal mangsa dirempuh sebuah kereta jenis Honda yang dipandu lelaki berusia 47 tahun.

Penunggang motosikal itu dipercayai terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Muhammad Ayman berkata, kemalangan kerap berlaku di kawasan itu walaupun jalan lurus.

Katanya, kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan lalu-lintas di sepanjang laluan dari Changlun menghala ke Alor Setar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, kemalangan itu adalah yang kedua berlaku hari ini bukan di kawasan Op Selamat.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 10:42 PM