ANGGOTA bomba memadam kebakaran membabitkan kilang di Kawasan Perindustrian Ringgan, Bakar Arang. FOTO ihsan JBPM
Nor Farhani Che Ad


LEBIH 150 anggota bomba termasuk pasukan bomba sukarela (PBS) dikerah memadam kebakaran membabitkan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ringgan, Bakar Arang, Sungai Petani, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran pada 12.12 tengah hari tadi.

Katanya, keanggotaan operasi pemadaman kebakaran membabitkan 29 anggota termasuk pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, BBP Tikam Batu, BBP Amanjaya dan BBP Perda, Pulau Pinang.

Selebihnya membabitkan PBS Bedong, PBS Semeling, PBS Guar Chempedak, PBS Sungai Petani, PBS Kota Sarang Semut, PBS Lunas, PBS Jalan Kundur, PBS Kampung Lalang, PBS Padang Lembu, PBS Sungai Puyu, PBS Raja Uda, PBS Kampung Crost dan PBS Bukit Bendera.

“Kebakaran membabitkan tiga bahagian iaitu dua bangunan kilang yang musnah masing-masing 80 peratus dan 10 peratus serta longgokan kayu kitar semula yang musnah keseluruhan.

“Bagaimanapun, kebakaran dapat dikawal dalam tempoh kira-kira sejam kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini operasi pemadaman masih diteruskan dan dijangka selesai tengah malam ini.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 12:03 AM