TNB.
TNB.
Raja Noraina Raja Rahim


TENAGA Nasional Berhad (TNB) dikenakan kompaun berjumlah RM3.6 juta oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) berikutan bil elektrik tinggi pada Mei dan Jun tahun lalu.

ST menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak 36 kompaun dikeluarkan kepada syarikat pembekal tenaga elektrik utama negara itu.

Tindakan itu diambil selepas ST menyiasat aduan daripada pengguna berikutan bil elektrik tinggi pada Mei dan Jun tahun lalu.

"Hasil siasatan mendapati TNB gagal mematuhi arahan ST berhubung standard prestasi Minimum Service Level (MSL) berkaitan tempoh penyerahan bil elektrik kepada pengguna.

"Berdasarkan MSL itu, TNB perlu memastikan setiap pengguna menerima bil elektrik secara bulanan," katanya.

Sementara itu, ST turut mengingatkan pemegang lesen supaya mematuhi peruntukan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), peraturan dan syarat bagi memastikan kepentingan pengguna dilindungi.

Pihaknya akan terus memantau dan menyiasat aduan yang diterima daripada pengguna.

Pengguna boleh membuat aduan melalui sistem eAduan di laman sesawang www.st.gov.my atau menerusi talian 03-88708800.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 1:32 AM