DUA Mercedes Benz yang tular di media sosial didakwa terbabit perlumbaan haram. FOTO Ihsan Pembaca
DUA Mercedes Benz yang tular di media sosial didakwa terbabit perlumbaan haram. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Fazlina Abdul Rahim


TIGA individu termasuk seorang wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes lumba haram membabitkan dua kereta Mercedes Benz, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, wanita berusia 30-an ditahan di rumahnya.

Manakala, dua lelaki berusia 30-an hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas dipanggil.

“Semua mereka yang bekerja sendiri ditahan antara jam 8 dan 9 malam tadi (kelmarin). Polis turut menahan kedua-dua kenderaan terbabit untuk siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Rahim turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk berlumba atau menunjuk jaguh sehingga menyusahkan orang lain.

“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang tanpa kompromi,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 2.28 saat memaparkan dua kereta Mercedes Benz berwarna kuning terbabit dengan perlumbaan haram sehingga mengganggu lalu lintas di Jalan Kubang Kerian menghala ke Pasir Hor.

Kejadian dipercayai berlaku jam 2 pagi.

Difahamkan, salah seorang daripada pemilik kereta mewah yang menyertai perlumbaan itu dikaitkan dengan ahli perniagaan kosmetik di Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 7:10 AM
Digital NSTP Subscribe