ANTARA individu yang ditahan di ‘port’ dadah di Jalan Guar Nenas, di Gurun, semalam. FOTO Ihsan AADK
Nor Farhani Che Ad


LELAKI warga emas antara 28 individu ditahan disyaki terbabit dalam aktiviti penagihan dadah di ‘port dadah’ di Guar Nenas, di Gurun, semalam.

Lelaki berusia 65 tahun itu ditahan dalam Ops Cegah yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama tujuh jam yang berakhir 12.30 tengah hari semalam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Arnida Ishak, berkata ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis morfin.

“’Port’ berkenaan adalah salah satu lokasi panas yang sering menjadi tumpuan golongan berkenaan untuk melepaskan gian dan mendapatkan bekalan dadah.

“Dalam ops ini juga, beberapa penagih dadah bertindak agresif untuk melarikan diri dengan menaiki motosikal secara laju dan melulu sehingga mencederakan beberapa anggota operasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arnida berkata, kesemua ditahan berusia antara 23 hingga 65 tahun.

Katanya, hasil saringan ujian air kencing mendapati 16 daripadanya positif methamphetamine dan morfin, manakala 12 lagi positif morfin.

Beliau berkata, mereka disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998.

“Seramai 22 daripada yang ditahan akan direman di lokap Kuala Muda dan lokap Kampung Selamat, Pulau Pinang, manakala enam lagi diberi ikat jamin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 8:51 AM