ROKOK yang dirampas. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak merampas rokok belum dibayar cukai bernilai lebih setengah juta di dua lokasi di Kota Sentosa, Batu 7, Kuching, kelmarin.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang dipercayai menjadi dalang aktiviti itu.

“Ketika siasatan, suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen pengesahan berkaitan barang yang ditemui di kedua-dua lokasi serbuan,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat Ibu Pejabat PPM Wilayah 5, di Kuching, semalam.

Beliau berkata, pada serbuan pertama, pihaknya menemui lima kotak besar berisi rokok pelbagai jenama belum dibayar cukai bernilai RM40,000 di dalam sebuah kenderaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut di sebuah rumah tidak bernombor berdekatan lokasi serbuan pertama pula menemukan 56 kotak lagi yang mengandungi rokok seludup bernilai RM448,000.

“Suspek diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Balai Polis Daerah Kota Sentosa manakala kesemua barang rampasan termasuk kenderaan milik suspek dibawa ke Markas PPM Wilayah 5 untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 9:55 AM