MOHAMAD Noor Yusof Ali. FOTO arkib NSTP
MOHAMAD Noor Yusof Ali. FOTO arkib NSTP
Shahrinnahar Latib

DUA lokasi di bandar Kuantan yang dikenal pasti menjadi lokasi penagihan dadah dan kegiatan mencuri motosikal akan diberi perhatian polis sempena Program Bandar Selamat.

Dua lokasi berkenaan adalah di Tanah Putih dan bandar Kuantan di Jalan Abdul Aziz sehingga di belakang bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kawasan seluas 46.5 hektar itu akan dipantau polis dalam fasa pertama program berkenaan.

“Tanah Putih dipilih berdasarkan tinjauan yang dibuat terhadap penduduk di sekitarnya yang mendakwa sering berlaku jenayah dan penagihan dadah.

“Di Jalan Abdul Aziz pula, dilaporkan berlaku kes ragut dan curi motosikal. Jadi pihak polis akan memasang lampu di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Mohamad Noor berkata, selain pencahayaan, kemudahan pejalan kaki juga akan ditambah baik bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa ragut.

“Sebagai langkah pencegahan satu papan tanda peringatan akan dipasang di lokasi terbabit supaya orang ramai peka dengan keadaan sekeliling. Ia bukan bertujuan menakut-nakutkan orang ramai sebaliknya memberi mesej supaya berhati-hati ketika melalui kawasan terbabit,” katanya.

Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Program Bandar Selamat 2020 berkata, pihaknya berhasrat menjadikan bandar Kuantan selamat dan orang ramai selesa dengan persekitarannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 10:45 AM