IKAN malang 38 kilogram yang ditangkap nelayan di Kampung Semop. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip

NELAYAN yang mendaratkan ikan malang di Kampung Semop, Mukah semalam menyifatkan tangkapan 38 kilogram (kg) itu sebagai rezeki keluarganya.

Zaidol Zainal, 56, berkata, walaupun pernah beberapa kali mendaratkan ikan itu sebelum ini namun ia bukanlah semudah yang dibayangkan.

Menurutnya, ikan malang atau lebih dikenali ikan benung dalam kalangan penduduk tempatan adalah ikan sungai yang sukar diperoleh.

“Kali terakhir saya mendaratkan ikan ini lima tahun lalu. Saya cukup bertuah kerana berpeluang menangkapnya sekali lagi tahun ini,” katanya.

Zaimi berkata, menaikkan ikan malang bukan kerja mudah kerana memerlukan tenaga yang mencukupi.

Selain saiznya yang besar katanya, gergasi sungai itu juga terkenalkan sifat semula jadinya yang suka melawan.

“Saya terpaksa berhempas pulas menariknya ke dalam bot kerana terlalu berat.

“Malah saya terpaksa menggunakan segala kekuatan sebelum menjinakkan gergasi sungai ini dalam masa kira-kira setengah jam,” katanya yang turut ditemani isterinya Napisah Leman, 54.

Zainol memberitahu, ikan yang ditangkapkan itu dijual pada harga RM25 sekilogram.

“Hasilnya saya beli barangan untuk kegunaan keluarga dan kelengkapan persekolahan anak-anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 10:59 AM