LAPORAN portal Harian Metro
Amirul Aiman Hamsuddin


POLIS masih meneruskan siasatan bagi mengesan suspek yang melarikan diri selepas melanggar dua pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Changgang di Kilometer 11, Jalan Banting-Dengkil dekat Kuala Langat, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan hasil siasatan dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, kita masih mengesan suspek dan jika ada perkembangan, kita akan maklumkan nanti,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan perjalanan dua pelajar menuju ke sekolah berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dilanggar lari sebuah kereta ketika melintas jalan.

Dalam kejadian 6.40 pagi itu, mangsa, Nur Aida Rafhanah Zaidi, 13, maut di lokasi kejadian manakala rakannya, Aina Safiyah Saparin, 13, patah tangan kanan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, siasatan lanjut dan usaha mengesan saksi bebas masih dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Lau Ung Hee di talian 019-6699901," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 11:49 AM