Juwan Riduan

LELAKI ditemui mati ditetak dengan benda tajam di hadapan warung di Kampung Inanam Laut, Kota Kinabalu, tengah malam tadi.

Mangsa, Jimboy Basal, 40, ditemui dengan kesan tetakan di leher oleh anak lelakinya, 14, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran lokasi kejadian, 12.30 tengah malam tadi.

Difahamkan, sebelum kejadian, anaknya ditegur oleh empat lelaki termasuk seorang sepupu mereka menanyakan lokasi bapanya.

Dia bagaimanapun tidak mengendahkan lalu beredar menuju ke Suria Inanam.

Ketika dalam perjalanan pulang dia terkejut apabila keempat-empat lelaki itu berlari dan dua suspek menaiki kereta manakala dua lagi menuju ke arah hutan.

Ketika menuju jalan ke rumahnya, dia melihat tompokan darah di atas jalan lalu mengekori darah itu sebelum terkejut melihat bapanya terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya yang menerima laporan pada 1.50 pagi bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati mangsa sudah meninggal dunia dengan kesan luka di leher dipercayai ditetak menggunakan benda tajam.

“Motif kejadian belum dapat dikenal pasti namun pagi tadi anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian itu.

“Siasatan sedang dijalankan termasuk mengesan tiga lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan ini,” katanya ketiga dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Quenn Elizabeth (HQE I) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 12:17 PM
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi. FOTO Juwan Riduan