NURUL Hizam (dua, kiri) dan Suzuki Shiro (tiga, kanan) bergambar bersama Kapal Echigo PLH 08. FOTO BERNAMA
Ruwaida Md Zain

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama Japan Coast Guard (JCG) julung kalinya berkongsi kepakaran bagi menangani insiden tumpahan minyak di laut menerusi bengkel komprehensif yang diadakan selama lima hari.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bengkel itu bermula semalam hingga 25 Januari ini di Pusat Hidrografi Nasional (PHN).

Katanya, bengkel pengendalian tumpahan minyak itu dijalankan bagi memastikan kesiapsiagaan Maritim Malaysia sentiasa berada pada tahap terbaik dalam menangani insiden tumpahan minyak.

"Program bersama JCG ini dapat meningkatkan keupayaan anggota serta mengoptimumkan penggunaan peralatan dalam mengendalikan insiden tumpahan minyak di Malaysia.

"Latihan seperti ini dapat menguji kemampuan sebenar agensi ini dalam memberi bantuan awal ketika berlakunya insiden tumpahan minyak," katanya selepas menyambut ketibaan Kapal Japan Coast Guard 'Echigo PLH 08' yang berlayar dari Pelabuhan Chennai, India ke Pelabuhan Klang kira-kira 9.30 pagi tadi.

Delegasi Japan Coast Guard ke Malaysia diketuai Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan dan Carilamat Japan Coast Guard, Laksamana Madya Suzuki Shiro.

KAPAL Echigo PLH 08 milik Japan Coast Guard (JCG) berlabuh di Pusat Hidrografi Nasional Pelabuhan Klang. FOTO BERNAMA

Nurul Hizam berkata, latihan menangani insiden tumpahan minyak itu dilaksanakan berikutan isu terbabit adalah isu global serta perlu diberi perhatian dan ditangani.

"Mungkin akan datang isu lain, kali ini fokus kita adalah kepada tumpahan minyak.

"Kita nak jaga alam sekitar kita, tumpuan yang perlu diberikan kepada isu alam sekitar supaya lebih terpelihara, terjaga, cantik dan sebagainya. Kalau air kotor beri kesan pada sumber laut seperti ikan," katanya.

Beliau berkata, bengkel itu membabitkan 60 peserta dari Jepun dan Malaysia termasuk beberapa jabatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), PETRONAS, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan lain-lain agensi berkaitan.

Difahamkan, JAS merekodkan sebanyak 36 kes tumpahan minyak di perairan negara sepanjang 2019 dengan 20 kes direkodkan di Laut Cina Selatan, tiga kes di Laut Sulu, 10 kes di Selat Melaka dan tiga kes di Selat Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 2:24 PM