GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan pimpinan kerajaan negeri itu menerima ‘bonus’ RM50,000.

Menurutnya, ia adalah pemberian khas susulan pencapaian pendapatan kerajaan negeri.

Malah, katanya, duit pemberian khas ini juga tiada kaitan dengan peruntukan khas oleh Kerajaan Pusat sebanyak RM400 juta.

“Ini bukan bonus kerana kita tidak layak menerima bonus sebagaimana kakitangan awam.

“Sebanyak 14 individu termasuk EXCO dan menteri besar menerima pemberian khas ini.

“Bukannya selalu, tahun ini saja paling banyak dan tahun depan mungkin tiada,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, isu pemberian khas RM50,000 seorang kepada pimpinan kerajaan termasuk Menteri Besar dan Timbalannya, Setiausaha Negeri Kelantan dan barisan EXCO dipersoalkan pegawai dan kakitangan negeri itu. Malah, isu pembelian 14 kereta Mercedes Benz oleh kerajaan negeri Kelantan belum reda.

Sumber ketika ditemui berkata, pemberian yang diterima minggu kedua bulan ini sekali dengan bonus tambahan yang diterima kakitangan kerajaan negeri.

“Tidak wajar kakitangan mendapat bonus RM1,000, sedangkan belasan pimpinan negeri menerima sebanyak RM50,000.

“Memang pemberian khas RM50,000 kepada pimpinan tertinggi negeri itu tidak diumumkan sebagaimana pengumuman bonus tambahan, namun orang dalaman semua tahu dan agak kecewa.

“Mereka menguar-uarkan konsep berjimat dalam pentadbiran negeri sedangkan mereka sendiri mampu menerima bonus RM50,000 seorang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 2:25 PM