DR Ahmad Zubaidi (dua dari kanan) ketika membentangkan hasil Bengkel Pemerkasaan SMAASZA di Kuala Terengganu. FOTO Malik Muhamad.
Malik Muhamad


SEKOLAH menengah agama tertua di Terengganu berusia 95 tahun, Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) Batu Buruk, Kuala Terengganu, berhasrat melahirkan lebih ramai tokoh terulung negara pada masa depan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMAASZA, Datuk Profesor Dr Ahmad Zubaidi A Latif berkata, impian itu bakal tercapai sekiranya semua pihak termasuk guru, ibu bapa, alumni dan pelajar bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah masing-masing.

“Menerusi sokongan dan kerjasama daripada kerajaan negeri serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), impian melahirkan lebih ramai cendekiawan bergelar ulama dan umarak pada masa depan pasti akan tercapai.

“Selain itu dengan kejayaan dalam pelbagai pertandingan dan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, ia turut menjadi motivasi dan pemangkin kepada pelajar untuk meraih kecemerlangan terbilang dalam akademik dan bidang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Bengkel Pemerkasaan SMAASZA Bersama Guru dan PIBG di sekolah berkenaan, hari ini.

Hadir sama, Pengetua SMAASZA, Engku Abdullah Dalam Ahmad.

Antara tokoh intelektual terbilang pernah dilahirkan sekolah berkenaan termasuk Tan Sri Profesor Dr Mohd Yusof Md Nor, Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman, Datuk Mahmood Sulaiman, Tan Sri Ibrahim Fikri, dan Datuk Seri Amar Diraja Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Turut pernah menuntut di sekolah berkenaan termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, mantan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Allahyarham Datuk Harun Taib, Ketua Hakim Syarie Terengganu Wan Mohd Zakri Wan Mohd, Mufti Terengganu Datuk Dr Zulkiply Muda dan bekas ‘orang kuat’ Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Allahyarham Datuk Abu Bakar Daud.

Bercakap mengenai pemerkasaan sekolah, Dr Ahmad Zubaidi berkeyakinan beberapa program dirancang termasuk berkaitan pendidikan, pemakanan dan sahsiah akan dapat direalisasikan bagi melahirkan pelajar berdaya saing dan hebat.

“Kami mahu melihat 100 peratus pelajar daripada sekolah ini bukan saja cemerlang dalam bidang pendidikan, malah mereka mampu menjadi pemimpin berakhlak mulia dan hebat serta serba boleh sebagaimana tokoh intelektual ulung negeri dan negara terdahulu.

“Selain itu, kami berhasrat untuk menyebarluaskan konsep wakaf dan infak dalam masyarakat Islam sesuai dengan ajaran al-Quran.

“Hal ini ditambah SMAASZA memang dikenali sebagai sekolah terunggul di Terengganu dan terkenal di seluruh negara, justeru saya berkeyakinan impian itu dapat direalisasikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 7:36 PM